Monday, June 20, 2011

MASALAH PERPADUAN DI MALAYSIA

ARTIKEL 1 : Selepas 45 tahun, kita masih terpisah

ARTIKEL 1 : Selepas 45 tahun, kita masih terpisah

BISIK-BISIK MINGGUAN

SEORANG pemimpin Dong Jiao Zhong dilaporkan oleh The Straits Times Singapore (keluaran 11 Ogos) sebagai berkata bahawa tujuan sebenar penggunaan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik adalah untuk menghapuskan pendidikan Cina di Malaysia, suatu hari nanti.

Ini terang-terang satu hasutan. Nada seperti ini bukan sahaja disuarakan melalui akhbar Singapura, tetapi juga di tanah air kita sendiri secara lebih halus. Dakyah ini cukup berkesan kerana ia serta merta membakar perasaan kaum yang terlibat.

Awang yakin para pemimpin persatuan tersebut sedar bahawa itu tidak boleh dilakukan kerana undang-undang negara melindungi sekolah Cina dan Tamil.

Inilah hakikatnya. Suka atau tidak, sekolah-sekolah itu sudah tidak boleh dihapuskan lagi. Ibu bapa diberi kebebasan meletakkan anak masing-masing di atas laluan yang mereka pilih - laluan yang terpisah jauh antara satu sama lain; laluan yang kita sendiri bina dan pertahankan.

Hari ini, selepas 45 tahun merdeka, tiba-tiba kita dapati generasi muda semakin renggang dan bertanya kenapa. Sesungguhnya, kita terpisah dari pangkal jalan lagi.

Sebagai reaksi kepada Dong Jiao Zhong, sudah ada yang mula menyuarakan tentang satu sistem tunggal persekolahan nasional. Seruan seperti ini membawa makna menutup sekolah-sekolah lain.

Ini juga hasutan. Sebenarnya, kita sedang bermain dengan api.

Awang tidak berhasrat membicarakan dasar yang telah diputuskan oleh kerajaan itu kerana sudah terlalu banyak diperkatakan. Pada peringkat ini, mungkin ada baiknya kita membicarakan tentang perkara lebih besar yang terbit daripada keputusan kerajaan itu iaitu masalah perpaduan kaum.

Bahawa masih ada yang sanggup bermain api dalam perkara yang begitu sensitif menunjukkan dengan jelas betapa tebalnya sifat perkauman di kalangan sesetengah daripada kita, rakyat Malaysia.

Amaran supaya undang-undang hasutan tidak dilanggari tidak begitu dipedulikan. Awang yakin pihak berkuasa, seberapa yang boleh, tidak mahu menangkap sesiapa kerana kesalahan menghasut dalam isu bahasa Inggeris ini. Pun begitu, kita tidak boleh terlalu yakin bahawa kerajaan tidak berani bertindak.

Kita semua tentu ingat bahawa Dong Jiao Zhong juga menentang penubuhan Sekolah Wawasan kerana takut sifat kecinaan akan hilang. Nampaknya itu sahajalah yang diambil berat - sifat kecinaan.

Jika berdekatan dengan sekolah lain pun mereka tidak mahu, macam mana generasi muda tidak renggang?

Sabtu ini (31 Ogos) genaplah 45 tahun kita merdeka. Sepatutnya kita sudah tidak bercakap lagi tentang perkara-perkara yang pada satu masa dahulu menjadi tembok yang memisahkan kita.

Malangnya, masih ada yang ingin memperkukuhkan tembok pemisahan kaum itu yang sepatutnya sudah runtuh sama sekali selepas 45 tahun merdeka - Melayu dengan kemelayuannya; Cina dengan kecinaannya.

Ke mana kita? Ke belakang atau ke hadapan?

Kontroversi berbau perkauman yang dicetuskan ekoran keputusan kerajaan hendak menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik menunjukkan betapa rapuhnya perpaduan kita; betapa kita masih menaruh syak wasangka; betapa kita masih melihat banyak perkara dari sudut kaum.

Terdapat pemimpin Cina termasuk yang berada di dalam kerajaan sendiri yang tidak dapat menyembunyikan perasaan perkauman mereka. Sebab itulah amat sukar bagi mereka menyatakan sokongan terbuka terhadap dasar kerajaan itu.

Ada yang sanggup baling batu sembunyi tangan; depan cakap lain, belakang cakap lain. Ada yang bermati-matian mahu melindungi apa yang disifatkan sebagai sifat kecinaan walaupun kita sudah 45 tahun merdeka.

Mengambil kira perkembangan ini, Awang tertanya-tanya apa sudah jadi dengan kita? Apakah segala `keakraban' yang ditunjukkan dalam hubungan Cina-Melayu selama ini hanyalah pada permukaan sahaja? Suatu yang palsu?

Apakah `keakraban' itu hanya berlaku pada peringkat hubungan individu dengan individu sahaja, bukan antara kaum dengan kaum?

Sesungguhnya, semua ini tidak perlu ditanya lagi selepas 45 tahun. Sedih dan membimbangkan, ia terpaksa ditanya juga kerana masalahnya masih ada.

Benarkah andaian bahawa kita semakin renggang? Benarkah pandangan bahawa hubungan Cina-Melayu sebenarnya rapuh?

Pada 27 Julai, selepas merasmikan perhimpunan agung tahunan MCA, Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad berkata, ekstremisme berasaskan kaum di kalangan generasi muda negara kita semakin serius dan membimbangkan. Ini berbeza dengan masa lalu di mana rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum bercampur antara satu sama lain dengan bebas.

Perdana Menteri menceritakan kepada para wartawan bagaimana beliau sendiri berkongsi bilik dengan pelajar Cina; bagaimana beliau belajar dan menggunakan bahasa Inggeris sepanjang hidup dewasanya, tetapi kemelayuannya tidak pernah luntur. Pada pandangan Awang, ia bertambah kuat.

Bagaimana keadaan hari ini? Hari ini para pelajar dari pelbagai kaum semakin terasing. Cina ke sekolah Cina; Melayu ke sekolah kebangsaan. Selepas persekolahan, Cina ke IPTS, Melayu ke IPTA. Di IPTA, Cina dan Melayu kurang bercampur. Salah satu punca ialah soal makanan dan faktor agama. Faktor agama juga memisahkan pelajar Melayu dengan Melayu, menenggelamkan faktor kebangsaan.

Pelajar Cina mungkin mengasingkan diri kerana matlamat mereka hanya satu - untuk belajar. Pelajar Melayu ada matlamat lain yang tidak sama dengan matlamat rakan Cina mereka. Bila tidak ada kepentingan bersama, tentulah sukar untuk bercampur.

Kesimpulannya, rakyat Malaysia keturunan Melayu, Cina dan India masih belum dapat hidup bersama seperti yang diharapkan. Mereka sebenarnya cuma hidup di sisi satu sama lain.

Secara umum, mereka tidak begitu menggemari satu sama lain, tapi `menahan diri' kerana terpaksa menerima hakikat dilahirkan di Malaysia, sebuah negara majmuk.

Bilakah agaknya kita dapat hidup bersama sebagai rakyat Malaysia sejati dalam erti kata yang sebenar?

Kita perlu balik ke pangkal jalan, mungkin di situ ada jawapannya. Kita semua tahu di laluan mana kita bermula, carilah di mana kita tersilap langkah.

ARTIKEL 2 : Bergaul satu kaum merugikan

MASALAH perpaduan kaum di Malaysia sekarang tidak seperti yang kita harap-harapkan selama ini. Apa yang kita harapkan adalah hidup dalam harmoni serta menghormati antara satu kaum dengan yang lain.

Sistem pendidikan negara kita memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan kaum. Sistem pendidikan yang betul akan menjamin keharmonian kaum manakala sistem pendidikan yang salah akan berlaku sebaliknya.

Saya masih teringat beberapa tahun yang lepas apabila saya mula menghantar anak sulung saya ke Tahun Satu di sebuah sekolah rendah kebangsaan. Saya agak terkejut melihatkan tiada seorang pun murid di sekolah tersebut berbangsa Cina, manakala murid India boleh dibilang dengan jari daripada beratus-ratus murid yang belajar di sekolah tersebut.

Saya berfikir, bagaimanakah anak saya nanti akan mengenali kaum lain dan bagaimanakah dia boleh menumpang kepandaian murid kaum lain dalam bahasa Inggeris, sedangkan rata-ratanya adalah murid Melayu. Saya bercadang untuk menukarkan semula anak saya ke sekolah yang berbilang kaum, malangnya sekolah-sekolah tersebut seperti juga sekolah ini majoritinya hanya satu-satu kaum sahaja.

Kerajaan telah mencadangkan keperluan Sekolah Wawasan diwujudkan. Ini amat baik sekali dan saya menyokong penuh. Tetapi beberapa pihak pula tidak bersetuju dengan alasan bahawa bahasa ibunda mereka akan hilang sama sekali dan bahasa Melayu akan digunakan sepenuhnya selain bahasa Inggeris, di samping beberapa alasan yang lain.

Saya ingin mencadangkan beberapa perkara supaya Sekolah Wawasan ini menjadi kenyataan dan diterima pakai oleh semua lapisan masyarakat berbilang kaum dan agama.

* Bahasa Melayu mesti kekal sebagai bahasa rasmi dan bahasa Inggeris boleh diguna sebagai bahasa kedua bagi semua murid tanpa mengira bangsa.

* Bahasa Cina dan bahasa Tamil juga perlu diajar kepada murid Melayu sebagai mata pelajaran wajib. Begitu juga bahasa Cina kepada murid India dan bahasa Tamil kepada murid Cina.

* Bahasa Cina juga dibenarkan diajar kepada murid Cina begitu juga bahasa Tamil dibenarkan diajar kepada murid India.

* Sebahagian sistem pembelajaran dan kokurikulum di sekolah kebangsaan Cina dan sekolah kebangsaan Tamil juga dibenarkan untuk dipraktikkan kepada murid Cina dan India mengikut kesesuaian masa.

* Bahasa lain juga dibenarkan diajar kepada sesiapa sahaja yang berminat tetapi tidak wajib.

Saya ingin menyentuh tentang cadangan supaya semua murid mempelajari bahasa kaum-kaum lain, khususnya kepada murid Melayu.

Ini bermakna murid Melayu perlu belajar bahasa Cina dan Tamil. Ini bertujuan supaya murid Melayu boleh berkomunikasi dengan bangsa lain dalam bahasa mereka sebagaimana mereka juga boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Untuk peringkat permulaan, murid tersebut wajib mengambil mata pelajaran tersebut tetapi tidaklah termasuk dalam pengiraan jumlah markah keseluruhan dengan mata pelajaran biasa yang lain.

Dengan adanya Sekolah Wawasan yang terdiri daripada berbilang kaum, saya percaya pembelajaran bahasa kaum lain ini akan lebih cepat dipelajari memandangkan rakan mereka daripada bangsa lain akan turut menyumbang kepada pembelajaran mereka.

Saya tidak nafikan mungkin ada di kalangan orang Melayu tidak setuju dengan cadangan tersebut. Saya berpendapat tidak ada ruginya sama ada murid Melayu, India atau Cina belajar berbagai bahasa, sedangkan kita pun tahu satu pertiga daripada komunikasi kehidupan kita seharian berkait rapat dengan bahasa-bahasa lain seperti Cina dan Tamil.

Sekiranya murid Melayu boleh berkomunikasi dalam bahasa asing maka mereka tidak akan mudah tersinggung atau kekok apabila rakan mereka daripada kaum lain bercakap sesama mereka dalam bahasa mereka. Begitu juga murid Cina yang berada dalam kelompok masyarakat India, mahupun murid India dalam masyarakat Cina.

Sekiranya perkara ini tidak terlaksana maka kaum yang bakal menerima kerugian adalah daripada bangsa Melayu sendiri yang tidak mengambil kesempatan peluang yang ada.

Bukan salah murid, tetapi salah mereka yang menentukan sistem pendidikan negara. Percayalah, kalau diberi peluang kepada kaum lain, bahasa Arab sekali pun mereka sanggup belajar demi ilmu untuk menandingi kaum lain.

Sekiranya perkara ini terlaksana maka murid Melayu akan mendapat keuntungan besar. Bukan sahaja untung di peringkat sekolah malah amat berfaedah apabila mereka memasuki alam pekerjaan khususnya bidang perniagaan pada kemudian hari. Kerajaan juga akan dapat mencapai matlamat untuk mewujudkan sebuah negara yang harmoni dan aman damai dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya kerana rakyatnya memahami berbagai-bagai bahasa.

Saya menitikberatkan soal bahasa dalam memupuk perpaduan kaum ini, kerana bahasa yang difahami akan memudahkan seseorang itu berkomunikasi antara satu sama lain. Bila berlakunya komunikasi maka berlakulah interaksi. Interaksi yang sefahaman akan mewujudkan masyarakat yang harmoni dan saling hormat menghormati antara kaum.

- MOHD SHAH ABDULLAH, Taman Kesidang, Melaka.

ULASAN

Di dalam era yang semakin mencabar, Malaysia kini diasak oleh ideologi-ideologi yang cuba untuk meruntuhkan perpaduan antara kaum di negara ini. Hasutan-hasutan yang hanya mengganggugugat perpaduan yang sekian lama kita jalinkan ini haruslah dipandang dengan lebih serius. Rakyat sendiri mestilah menggunakan pertimbangan yang sewajarnya dalam menangani apa jua pendapat daripada anasir-anasir luar yang bersikap negatif terhadap isu perpaduan di negara ini khususnya. Rakyat tidak seharusnya cepat melenting apabila masalah perkauman ditimbulkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, malah berusaha menangkis permasalahan itu dengan fikiran rasional.

Pengekalan ciri-ciri yang mulia dalam masyarakat adalah tunggak dalam menjayakan misi negara. Semangat perpaduan antara kaum adalah penting bagi mengekalkan keamanan negara. Sebagai rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama, kita perlulah memahami dan menghormati budaya masyarakat lain agar dapat hidup bersama-sama secara aman dan harmoni seperti yang disarankan dalam integrasi akomodasi. Selain itu, sikap toleransi juga harus ditanamkan dalam diri rakyat Malaysia. Hal ini kerana dengan adanya sikap toleransi, kita dapat mengelakkan pertelingkahan dan perselisihan faham antara satu kaum dengan kaum yang lain.

Komunikasi adalah suatu komponen yang penting dalam perpaduan. Di atas teras bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan Malaysia, setiap kaum haruslah menghormati dan memperluaskan penggunaannya. Jika semua kaum di Malaysia mampu membudayakan bahasa kebangsaan dalam kehidupan seharian mereka, dunia luar akan celik akan kesepaduan yang kita bina melalui satu bahasa dan satu bangsa. Disarankan kaum bukan Melayu agar berkomunikasi menggunakan bahasa Malaysia apabila berhadapan dengan kaum Melayu agar rasa hormat antara kaum itu wujud dan tiada fitnah yang muncul apabila seseorang itu tidak memahami butir percakapan pihak yang lain. Namun, setiap kaum masih bebas menggunakan bahasa ibunda mereka agar rusuhan yang terjadi di Indonesia dan Thailand tidak berulang di negara kita akibat daripada perlaksanaan sistem asimilasi.

Apa jua cadangan untuk menyatupadukan semua kaum dan etnik di Malaysia haruslah dipertimbangkan oleh kerajaan dengan sewajarnya. Pendidikan turut memainkan peranan yang penting dalam membentuk remaja agar mempunyai semangat perpaduan antara kaum. Sehubungan itu, pelajar yang mencintai tanah air dapat dilahirkan serta mampu mengelakkan berlakunya pertelingkahan kaum, seterusnya mengekalkan semangat perpaduan sehingga dewasa dan turut mewariskan semangat ini kepada generasi yang akan datang. Oleh itu, keharmonian hidup berbilang kaum dapat diterapkan dalam kehidupan anak-anak kita pada hari ini sejak zaman pra-sekolah mereka lagi sekaligus mengurangkan jurang perhubungan antara kaum.

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa perpaduan hanya dapat dicapai jika rakyat Malaysia bersikap rasional, saling menghormati setiap budaya yang berbeza serta menggunakan bahasa kebangsaan sebagai alat komunikasi utama. Manakala pemimpin pula haruslah berani membuat keputusan yang bakal memacu negara ke arah perpaduan sejagat dan menjadikan medan pendidikan sebagai asas pembentukan rakyat berbilang kaum yang hidup secara aman dan bersatupadu. Harus diingat bahawa perpaduan tidak akan wujud jika tiada kesefahaman antara kaum. Sehubungan itu, kita bertanggungjawab dalam memastikan misi perpaduan negara akan tercapai jua.

SUMBER RUJUKAN

ARTIKEL SATU

Ø http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2002&dt=0825&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_01.htm&arc=hive

ARTIKEL DUA

Ø http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2001&dt=0321&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_07.htm&arc=hive

Rujukan lain

- http://mppas.wordpress.com/2007/12/07/salahuddin-penyelesaian-konkrit-diperlukan-selesai-isu-perpaduan/

- Nota Hubungan Etnik

Dr. Nur Azuki Bin Yusuff

No comments:

Post a Comment